Saturday, April 24, 2010

~Sehari Saya Di Hari Buku dan Hak Cipta UTHM~

Oleh: Sahrul Khair Bin Osman


Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh.


Segala puji bagi Yang Maha Esa, Allahu Rabbuna yang dengan limpah hidayah dan inayahNya kita masih lagi dalam nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam disandarkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang telah membawa Islam kepada sekalian alam sehingga ke hari ini.


Iqra’, yakni bacalah, merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasul junjungan, Muhammad s.a.w, yang menegaskan kita sekalian umat manusia untuk berusaha mendalami ilmu dan mengkaji apa yang ada di muka bumi ini. Hal ini kerana hanya dengan ilmu, seseorang itu mampu membuat keputusan mana yang baik dan mana yang buruk.


Kini, ilmu merupakan salah satu perkara yang dikejar-kejar oleh manusia tanpa mengira apa pun perbezaan, baik dari segi usia, bangsa, bahasa, semuanya diletakkan ke tepi untuk sementara waktu demi menimba ilmu.




Dalam keghairahan membuat persediaan untuk peperiksaan akhir semester ini, tanpa kita sedari Pejabat Penerbit Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama  United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). telah mengadakan Seminar Hak Cipta bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2010 yang bertempat di Dewan Tun Ibrahim Ismail  dan Dataran Anggerik pada 23 April 2010 yang lepas.
 
Antara aktiviti telah diadakan sepanjang hari . Antaranya:


. Seminar Hak Cipta Sempena Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia 2010


. Penceramah :
• Prof Madya Dr. Nazura bt Abdul Manap (Universiti Kebangsaan Malaysia)
• Puan Nisah bt Harun (penulis sepenuh masa) 

Selain itu,banyak buku yang telah dipamerkan untuk dijual kepada seluruh warga UTHM, bukan hanya buku yang berbentuk akademik, malah dari semua jenis seperti agama, kepimpinan, dan motivasi. Sambutan yang amat memuaskan daripada seluruh warga kampus walaupun masing-masing mempunyai kekangan-kekangan masa yang tidak boleh dielak sebenarnya.


Pelbagai buku yang dipamerkan

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pejabat Penerbit UTHM dan UNESCO UTHM kerana telah mengadakan suatu program yang membawa kembali rasa ingin menimba ilmu selain daripada ilmu yang berbentuk akademik di bumi UTHM ini. Semoga terus menerus mengorak langkah dengan membawa lebih banyak pembaharuan untuk kepentingan warga UTHM keseluruhannya.


Pesan Nabi junjungan besar, Muhammad s.a.w yang kira-kira bermaksud: “Tuntutlah ilmu walau ke negeri China”, dan “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Kedua-dua pesanan tersebut menyeru umat manusia umumnya dan umat Islam khususnya untuk terus memperkasakan dan memperkayakan diri dengan ilmu yang memberi manfaat kepada diri, masyarakat, agama dan negara.


Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan akhir semester ini. Semoga semuanya dipermudahkan olehNya dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin.


~Dengan Hikmah Kita Meneroka~